Saya jarang-jarang menulis blog dalam bahasa ibunda saya iaitu Bahasa Melayu.
Namun, sesekali, apabila jiwa ini tersentuh, terutamanya apabila yang menyentuh jiwa saya ini adalah isu yang membabitkan masa depan saya, anak isteri dan negara, maka saya akan memberontak dalam bahasa ibunda.
Tiada yang lebih memuaskan hati saya ketika ini selain berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas kebanggaan negara iaitu Petronas, dengan rasa syukur dan tenang kerana tahu bahawa syarikat yang amat saya sayangi ini dalam keadaan yang amat kukuh dan diterajui oleh individu-individu yang telus, penuh integriti dan profesional yang mahir dalam selok-belok menjalankan perniagaan dan pengendalian operasi minyak dan gas yang kian mencabar.
Generasi kakitangan baru seperti saya amat bertuah kerana generasi kakitangan sebelum saya yang berkembang bersama-sama Petronas dari awal 80-an sehinggalah kini telah memastikan syarikat kebanggaan negara tersebut melonjak dari kecemerlangan persada domestik ke pentas global yang lebih kompetitif, dalam usaha Petronas untuk mencari rizab-rizab minyak dan gas yang baru demi kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara.
Semua sedia maklum bahawa Petronas merupakan satu-satunya syarikat negara yang menghuni senarai elit Fortune 500 sejak tahun 1992 lagi, semuanya berkat, kesabaran dan iltizam pengurusannya yang ikhlas dan serius dalam memastikan Petronas ditadbir urus dengan cekap dan berada di landasan amalan-amalan terbaik korporat (best corporate practices) yang membolehkan ia mendapat kepercayaan tinggi bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan niaga globalnya seperti ExxonMobil dan Shell, malah juga daripada kerajaan-kerajaan tuan rumah (host governments) di mana Petronas beroperasi seperti Sudan, Mesir, Turkmenistan, Vietnam, Myanmar dan Indonesia.
Dalam senarai Fortune 500 bagi tahun 2008, Petronas melonjak dari kedudukan global keseluruhan ke-121 (tahun sebelumnya) ke kedudukan ke-95, dengan keuntungan bersih RM61 bilion (US$18.1 bilion). Bagi kategori syarikat paling untung pula, Petronas mencatat rekod tersendiri apabila dinobatkan sebagai syarikat ke-8 paling untung di dunia, menewaskan gergasi-gergasi multinasional yang lain seperti Toyota dan Honda. Di kalangan syarikat-syarikat minyak dan gas pula, Petronas selesa di kedudukan ke-16 manakala dari segi keuntungan pula, ia menduduki tangga ke-6 dunia.
Keuntungan bersih yang dicatat Petronas ini sudahpun ditolak dengan pembayaran royalti, dividen dan cukai kepada kerajaan. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, Petronas membayar RM67.6 bilion kepada kerajaan termasuk RM6 bilion dividen khas. Sejak ditubuhkan 34 tahun yang lalu, Petronas sudah menyumbang RM403 bilion kepada kerajaan yang dibelanjakan untuk pelbagai projek, infrastruktur dan kemudahan untuk manfaat rakyat. Untuk dimudahkan cerita, kira-kira 40% daripada pendapatan kerajaan disumbang oleh Petronas. Setiap satu ringgit yang diperolehi kerajaan, 30 sen adalah daripada Petronas. Begitulah pentingnya syarikat minyak dan gas negara itu kepada kita semua.
Saya yakin prestasi kewangan Petronas yang kukuh selama ini ialah kerana ia diterajui oleh individu-individu yang berbakat dan berkebolehan, yang merupakan legasi Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, bekas Pengerusi dan Presiden Petronas yang akan sentiasa dikenang sebagai orang yang bertanggungjawab menjadikan Petronas apa yang kita lihat pada hari ini. Kesinambungan kecemerlangan Azizan diteruskan pula oleh Tan Sri Hassan Marican dengan disokong barisan pengurusan yang begitu mantap serta diawasi dan dinasihati oleh Lembaga Pengarah yang turut dianggotai wakil-wakil kanan kerajaan termasuk dari Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pula melapor terus kepada Perdana Menteri, satu sistem yang telah digunapakai sejak penubuhannya pada tahun 1974, untuk memastikan campurtangan politik yang minima. Begitulah kebijaksanaan kepimpinan negara yang terdahulu ketika merangka dasar tersebut.
Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campurtangan politik yang melampau. Kini, saya rasa tidak sedap hati kerana berdasarkan cakap-cakap dan bisik-bisik di sana sini, Petronas mungkin berhadapan dengan nasib yang sama.
Semuanya gara-gara khabar angin di ruang siber, melalui penulisan beberapa bloggers yang mendakwa individu tertentu akan dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Petronas. Individu ini dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dengan orang-orang penting kepimpinan terkini. Secara peribadi, saya merasakan ini satu langkah yang berbahaya kerana individu yang dimaksudkan turut memiliki syarikat perniagaannya sendiri yang boleh mencetuskan "conflict of interest". Lagipun, semua sedia maklum bahawa anggota-anggota Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada Presiden Petronas sendiri, beberapa orang Naib Presiden Petronas dan wakil-wakil kerajaan Persekutuan yang merupakan pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU. Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan Petronas pula bertindak sebagai Setiausaha Syarikat. Semuanya cukup berkaliber dan memiliki kredibiliti yang tinggi.
Saya amat bimbang sekiranya benar individu yang disebut-sebut ini dibenarkan "menyusup" ke dalam Petronas. Walaupun anggota Lembaga Pengarah tiada kuasa-kuasa eksekutif, apa juga kemungkinan boleh berlaku. Segala maklumat yang dikategorikan sebagai "sulit dan persendirian" akan diketahui oleh beliau dan entah siapa lagi kerana ia lazimnya dibawa ke Lembaga Pengarah untuk perbincangan dan keputusan. Selama ini, Petronas sudah membuktikan ia mampu membuat keputusan-keputusan perniagaan yang bijak dan menguntungkan tanpa gangguan atau campurtangan politik. Cukup sekadar melapor terus ke Perdana Menteri dan kementerian-kementerian yang berkaitan.
Saya amat berharap YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memastikan Petronas terus dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana syarikat tersebut telahpun membuktikan berkali-kali saban tahun bahawa ia adalah berwibawa dan dinamik. Hasilnya dinikmati oleh seluruh warga Malaysia, samada kita sedar atau tidak. Saya percaya YAB Datuk Seri Najib mampu membuat keputusan yang baik perihal perlantikan jawatan-jawatan penting dalam Petronas kerana beliau sendiri merupakan bekas pegawai Petronas dan pasti sayang kepada syarikat yang pernah beliau berkhidmat, syarikat yang ditubuhkan ketika pentadbiran bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ke-2.
Orang Amerika ada satu pepatah berbunyi "If it ain't broken, don't fix it." (Kalau benda itu tidak rosak, tidak perlu ia dibaiki). Saya rasa pepatah ini amat sesuai sekali untuk Petronas yang tidak pernah menghampakan apabila setiap tahun, ia melaporkan keuntungan yang besar, yang membolehkan ia memberikan pulangan yang besar juga kepada kerajaan dan rakyat.
Kalau kita sayang Petronas, kita mesti percaya dengan pengurusan yang ada untuk terus memajukan syarikat kebanggaan negara ini. Memanglah orang-orang seperti Tan Sri Hassan tidak boleh menerajui Petronas buat selama-lamanya, namun sekurang-kurangnya, biarlah generasi pelapis yang telah dididik oleh beliau meneruskan legasi syarikat tersebut untuk kemakmuran jangka panjang negara.
Monday, May 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
I have linked my latest posting with this article of yours.
sape pulak org kuat najib yg akan dilantik ke dlm petronas?
Thank so much A Voice, really appreciate it. We should keep the discussion alive in blogosphere.
Post a Comment