Nuffnang

How Long I Have Been Married

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, March 12, 2008

Keputusan PRU 12 : Melayu Mesti Sedar Bahaya Yang Dihadapi


Keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU 12) telahpun diketahui dan rakyat Malaysia telahpun membuat pilihan.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala apabila keputusan diumumkan di kaca televisyen pada malam 8 Mac dan juga awal pagi 9 Mac. Saya bersengkang mata hingga ke subuh untuk mendapat kepastian dan merasa begitu terkilan apabila mengetahui rakyat Malaysia memilih untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di empat negeri pantai barat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Malah, BN telah dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Syukur Alhamdulillah kerana BN masih mampu menubuhkan Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah.

Berdasarkan keputusan PRU 12 tersebut, saya berharap rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu yang ”anti-establishment” telah berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan. Atas alasan undi protes dan juga emosi jangka pendek, mereka sanggup menggadaikan masa hadapan kaum mereka sendiri hingga menyebabkan Pulau Pinang kini diterajui oleh seorang Ketua Menteri dari parti DAP yang jelas lebih mengutamakan satu kaum sahaja walaupun mendakwa mereka parti pelbagai kaum. Perak juga diambang pemerintahan seorang Menteri Besar dari parti yang sama. Selangor pula mendapat Menteri Besar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanggungjawab melumpuhkan kewangan sebuah syarikat besar negara ketika beliau menerajui syarikat tersebut sehingga memaksa ”mega merger” untuk menyelamatkan ia daripada melingkup. Kedah pula bakal mengalami keadaan caca marba seperti Terengganu pada tahun 1999 di bawah kepimpinan PAS. Silap haribulan, destinasi pelancongan tersohor negara iaitu Langkawi bakal menjadi ”sleepy hollow” akibat dasar-dasar PAS yang sudah hampir pasti akan dilaksanakan di Negeri Jelapang Padi itu.

Bagus dan tahniah kepada orang-orang Melayu yang ”anti-establishment” yang memainkan peranan besar menumbangkan BN di negeri-negeri tersebut. Teruskan perbuatan anda di PRU 13 lima tahun dari sekarang. Sudah alang-alang, tumbangkan terus BN di peringkat persekutuan. Ketika itu nanti, barulah tahu langit itu tinggi atau rendah. Lihatlah sahaja Pulau Pinang, baru sehari dua memerintah, DAP sudah tunjuk belang. Tidak perlu saya cerita lebih panjang kerana bimbang akan mewujudkan elemen berbau perkauman.

Kalau orang Melayu tidak sedar lagi bahaya yang sedang dihadapi, bermakna masa hadapan anak cucu kita sudahpun di pahat secara kekal di tembok perjalanan politik, sosial dan ekonomi negara yang amat saya sayangi dan cintai ini.

Pengundi-pengundi kaum bukan Melayu telahpun menunjukkan belang mereka ketika PRU 12 yang baru berlangsung dengan memilih parti yang boleh memastikan kepentingan mereka terus dipelihara malah mungkin juga ditingkatkan ke tahap yang mampu menghakis atau melenyapkan terus ketuanan Melayu di negara ini. Pulau Pinang, Perak dan kerusi-kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah bukti nyata akan langkah nekad kaum bukan Melayu untuk menjadi komponen rakyat yang lebih agresif, yang mampu menepis dan menangkis pengaruh UMNO sebagai parti politik utama yang mewakili kepentingan orang Melayu.

Namun, pengundi-pengundi Melayu sendiri yang telah mencabul penat lelah perjuangan UMNO untuk mereka dengan memilih pembangkang di PRU 12. Merekalah pengkhianat bangsa yang tidak pernah tahu bersyukur atas segala kenikmatan, keistimewaan dan kesejahteraan hidup yang diperolehi dari saat mereka lahir hinggalah sekarang yang semuanya kerana dasar-dasar dan sistem yang dicetuskan oleh kepimpinan negara sejak sekian lama iaitu BN yang diterajui UMNO.

Inilah masalahnya kalau sudah terlebih pandai atau lebih tepat lagi, pandai tidak bertempat. Untuk rekod, saya seorang profesional Melayu dan saya berterima kasih kepada BN dan UMNO kerana mewujudkan sistem yang membolehkan saya berada di kedudukan saya sekarang.

Tiada faedahnya menjadi ”anti-establishment” hanya semata-mata kerana ingin dilihat sebagai golongan yang celik dan cerdik dari segi kesedaran hak untuk memilih pemerintah negara. Macamlah negara kita ini terlalu teruk keadaannya seperti beberapa negara di Afrika, Asia Selatan malah sebuah negara jiran di Asia Tenggara yang mana rakyat memberontak kerana keadaan hidup yang sudah terlalu mendesak dan serba kekurangan. Yang lebih lucu, kebanyakkan orang-orang Melayu yang ”anti-establishment” ini adalah golongan yang berada sebenarnya. Di kawasan DUN Hulu Kelang dan DUN Bukit Antarabangsa di mana saya tinggal contohnya, kebanyakkan penyokong-penyokong PKR malah PAS memandu kenderaan pacuan empat roda mewah dan juga kenderaan mewah Eropah yang kita semua sedia maklum. Itulah ”anti-establisment” mengada-ngada namanya.

Mengada-ngada sehingga menyebabkan ketuanan Melayu kini ibarat telur di hujung tanduk. Fikirkanlah.